Friday, 1 August 2014

Zaman Sekolah Menengah

         Pertama kali datang Betong, adalah janggal sedikit kerana telah lama tinggal di Bintulu. Aku cuba sesuaikan diri dengan suasana baru. Sewaktu aku berumur 13 tahun sehingga 17 tahun dalam tingkatan 1 sehingga tingkatan 5 aku bersekolah di Smk St Augustine, Betong. Sekolah tersebut memberi banyak kenangan suka dan duka. Mengimbau kembali saat pertama kali aku kenal dengan seorang budak lelaki dari kelas 1 Orkid. Manakala aku pula dari kelas 1 Mawar. Kami berdua rapat sejak kejadian rantai basikal aku  longgar. Suatu hari, semasa balik sekolah, tiba-tiba rantai basikal aku longgar. Aku jadi kelam kabut sebab tak pandai atur rantai tersebut. Dia datang memberi pertolongan. Saya terasa terhutang budi pada dia waktu itu. 
         Bulan September 2008 dia memberitahu ku bahawa dia suka padaku. Alangkah terkejutnya aku waktu itu, aku dah anggap dia sahabat sejatiku dari ramai-ramai lelaki di sekolah. Namun, aku juga tidak mampu untuk menipu perasaan ku sendiri. Aku juga memberitahu dia tentang perasaanku. Dia gembira dan berjanji akan menjaga aku serta tidak mengambil kesempatan terhadapku. Aku pegang kata-katanya. Perhubungan kami berdua hanya kawan-kawan terdekat sahaja yang tahu. Orang kata bercinta waktu sekolah itu dipanggil "Cinta Monyet". Tapi aku tak kisah, sebab kami berdua bercinta diam-diam. Tambahan pula, waktu tingkatan 1 sampai 3 mana ada reti nak "dating". Kalau berjumpa pun pasal kerja sekolah,  aktiviti kokurikulum dan sukan tahunan.
          Tahun demi tahun, sedar tak sedar aku dah berada di tingkatan 4. Aku dari aliran sastera manakala dia dari aliran sains. Dia pernah memberitahuku bahawa dia teringin sekali nak satu kelas denganku. Aku fikir itu hanyalah gurauan. Dia sanggup berpindah kelas dari aliran sains ke aliran sastera demi aku seorang. Aku jadi serba salah dibuatnya. Tapi takpa lah itu pilihan dia. Aku pernah memberitahu dia tentang cita-cita ku ingin menjadi Pegawai Pertanian / Guru Sains Pertanian. Dia berkata "kejarlah impian mu dengan belajar bersungguh-sungguh". Dia memberitahu aku dia ingin jadi seorang Guru. Macam bapanya dan abangya yang merupakan seorang Guru. 
          Tahun 2012 merupakan tahun aku menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Aku gementar kerana sepanjang di tingkatan 4 banyak subjek aku perlu tingkatkan lagi. Dia banyak menolongku dari segi pelajaran. Aku terlalu lemah dalam subjek matematik dan sejarah. Pernah sekali aku disindir oleh cikgu sejarah kerana aku dapat markah ujian paling rendah sekali manakala Dia dapat paling tinggi antara kami sekelas. Betapa malunya aku ketika itu, hanya Tuhan yang tahu. Dia memberitahuku bahawa "Gagal Sekali Bukan Gagal Selamanya". Selain keluargaku, dia juga seringkali memberi kata-kata semangat. Cikgu-cikgu di sekolah hampir semua tahu tentang perhubungan kami yang telah lama terjalin dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5. Ada juga cikgu yang kata kami berdua macam bukan bercinta.
          Tamat tingkatan 5, Sementara menunggu keputusan SPM keluar aku bekerja di Medan Supermarket Bahagian Betong. Manakala dia duduk rumah saja. Pada hari keputusan SPM diumumkan, Dia dapat 8A 1B, manakala aku 5B 4C 1D. Jauh kan perbezaan kami berdua? Tapi dia tidak jemu memberi kata-kata semangat untukku. Aku tidak terpikir nak sambung pelajaran lagi. Tetapi demi keluarga, aku akur juga memandangkan aku anak sulung. Dia menerima tawaran dekat UPSI dalam jurusan TESL. Aku tumpang gembira bercampur sedih sebab kami berdua akan berpisah. Dia memberitahu ku bahawa dia mahu tolak tawaran tersebut kerana tidak sampai hati untuk meninggalkan aku. Aku memberitahunya "Cukuplah, sepanjang 4 tahun kau bersama aku, sampai kau sanggup tukar aliran demi aku. Takkan sekarang ni kau nak tolak tawaran depan mata bulat-bulat semata-mata demi aku seorang? Kau pernah memberitahuku cita-cita kau nak jadi Guru. Peluang depan mata, terima je lah. Aku okay, kau jangan risau".
          Suatu hari aku  menerima panggilan dari UPMKB bahawa aku dapat tawaran ke  Program Persediaan Diploma 2013/2014. Kata bapaku, terima sahaja tawaran tersebut. Dia pun bagitau perkara yang sama, terima saja tawaran tersebut. Dia tak kisah janji aku dapat sambung belajar. Tak sampai sebulan di UPSI, Dia memberitahu ku bahawa dia berpindah ke Institusi Pendidikan Guru Batu Lintang Kuching (IPGBL) dalam option Sejarah. Katanya lagi, Tesl banyak persaingan sebab itu dia tukar option. Walaupun berjauhan, dia sentiasa sokong aku.Aku amat menghargai semua itu.


No comments:

Post a Comment